BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 14, 2011

VALENTINE'S DAY???? SAY NO!!!!!


Sejarah Valentine's Day

Terdapat pelbagai sumber yang berbeza-beza menceritakan tentang asal-usul Hari Valentine. Yang nyata, tidak satu pun memberi kebaikan kepada kita sebagai umat Islam dan hamba kepada Maha Pencipta. Sedarkah kita, salah satu sebab kewujudan Hari Valentine ini adalah kerana kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tarikh tersebut. Manakala orang yang menjadi dalang kepada kekalahan itu adalah seorang paderi Kristian, Saint Valentine. Lalu, 14 Februari 1492 dinamakan Hari Valentine dan dianggap sebagai hari kasih sayang kerana Islam dianggap sebagai agama yang zalim. Bukankah dengan menyambutnya, kita sendiri menghina agama kita yang suci? Kejinya jika kita begitu!

Antara sejarah yang lain pula menyebut, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas kesungguhannya mempertahankan hak para tentera di zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang tentera-tentera Rom untuk berkahwin kerana pada pendapat beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang. Namun secara senyap, Saint Valentine telah melakukan upacara pernikahan dan ini mendatangkan kemarahan Claudius II. Lalu, paderi itu dihukum gantung pada 14 Februari 269 Masihi.

Fikirkan

Jika kita menjadikan ini sebagai alasan untuk menyambut 14 Februari, dek kerana kesungguhan seseorang menegakkan hak manusia untuk berkahwin, mengapa pula penghormatan itu harus diberi kepada seorang paderi Kristian? Sedangkan di kalangan utusan Allah semuanya banyak berkorban demi cinta mempertahankan agama. Kenangilah rasa cinta dan kasih yang tak terhingga Rasulullah SAW yang banyak berkorban demi kita, umatnya yang amat beliau kasihi. Sungguh, jangan pernah kita meletakkan penghormatan itu lebih tinggi kepada pemimpin dari kaum kafir berbanding pemimpin teragung kita, Muhammad SAW!

Kita sedia maklum, sesuatu perayaan yang tidak berlandaskan agama Islam pasti mendatangkan sejuta keburukan dan kebinasaan. Lihatlah, berapa ramai anak-anak gadis seagama yang telah terkulai layu di tangan kekasih hati hanya demi membuktikan rasa cinta yang berinspirasikan Saint Valentine? Berapa ramai pemuda-pemuda yang menggalas tugas khalifah di muka bumi melakukan maksiat dan zina demi tarikh yang dianggap keramat itu ? Segeralah kita membendung sambutan Hari Valentine. Jangan biarkan benih kesesatan menumbuh lalu menjadi pohon yang menutupi sinar iman di dalam hati.

Ingatlah firman Allah, "Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (al-Baqarah:120).

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment